Apa itu hubungan antarabangsa?

            Hubungan merupakan pertalian atau perkaitan diantara satu perkara dengan perkara lain. Dalam kehidupan manusia, hubungan merupakan satu perkara yang tidak dapat dihindarkan dan dielakkan dalam apa jua perkara. Manusia perlu mempunyai hubungan diatara satu sama lain untuk saling melengkapi. Hal ini kerana bertujuan untuk memenuhi kepentingan dan matlamat tertentu. Dalam konteks hubungan antarabangsa, perkara ini turut terjadi. Oleh sebab itu wujud hubungan antarabangsa dimana negara-negara di dunia akan mengadakan hubungan antarabangsa untuk memenuhi kepentingan dan matlamat negara agar tercapai. Proses hubungan antarabangsa ini berkemungkinan besar akan mencetuskan beberapa konflik atau kerjasama dalam penggunaaan kekerasan atau kerjasama diantara negara-negara dalam menghadapi masalah dan keperluan negara. Dalam memberi definisi hubungan antarabangsa pelbagai definisi akan diberikan oleh setiap orang berdasarkan pemahaman yang mereka perolehi. Secara umum, ramai yang akan menyatakan hubungan antarabangsa ialah pertalian, interaksi dan perkaitan di antara negara-negara dalam dunia. Akan tetapi, makna yang sebenarnya ialah berkaitan kajian. Hubungan antarabangsa merupakan satu kajian tentang hubungan antara negara-negara yang ada dalam sistem antarabangsa. Hubungan antabangsa yang berlaku dalam dunia bukan sahaja melibatkan hubungan antara negara dengan negara, tetapi ia juga merupakan hubungan yang turut melibatkan entiti-entiti. Entiti tersebut adalah terdiri daripada organisasi dan institusi antarabangsa, syarikat-syarikat multinasional dan individu-individu.

            Dalam hubungan antarabangsa mempunyai sistemnya yang tersendiri. Sistem tersebut mempunyai pelbagai unit seperti negara, organisasi, personaliti dan isu. Ia wujud perbezaan dari segi peringkat, isu, hubungan antara unit, pengaruh dan keupayaan. Beberapa negara di dunia pada masa kini juga turut mempunyai kedudukan sebagai kuasa besar dunia kerana memiliki kuasa dan pengaruh ketenteraan dan ekonomi yang kuat. Hubungan antara kuasa-kuasa besar membentuk sistem hubungan tambahan dalam hubungan antarabangsa. Mereka mempunyai peraturan dan bentuk hubungan yang tersendiri sesama mereka. Kuasa terbesar dalam kumpulan kuasa-kuasa besar tersebut yang digelar super power lazimnya mempunyai kuasa yang terkuat antara kuasa-kuasa yang lain merujuk kepada pemilikan senjata dan keupayaan nuklear. Kita melihat kembali semasa Perang Dingin yang berlaku suatu ketika dahulu. Kita dapat lihat bagaimana Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet yang mempunyai kuasa besar dan digelar sebagai superpower. Kedua-dua negara ini akan memastikan kuasa mereka tidak dapat ditandingi dan sentiasa digeruni oleh negara lain. Secara tidak langsung akan akan wujud dua jenis negara iaitu negara kuasa besar dan negara lemah. Negara lemah mempunyai peranan dalam sistem antarabangsa namun pengaruh mereka tidaklah setanding pengaruh yang diberikan oleh kuasa-kuasa besar dunia sebagai aktor hubungan antarabangsa Aktor terbahagi kepada dua iaitu negara (state) dan bukan negara (non-state). Aktor negara yang berdasarkan empat ciri penting kewujudan negara (sempadan, populasi, kerajaan dan kedaulatan) mampu memberi kesan pada kedudukan dan pengaruh negara sebagai aktor dalam hubungan antarabangsa. Sesebuah negara bebas daripada sebarang ancaman, ugutan dan tekanan luar malah ia berkuasa secara mutlak (konsep kedaulatan) bagi menentukan kepentingan dan kebajikannya sendiri. Antara lain, sesebuah negara berkuasa menggubal dan melaksanakan undang-undang, mengutip cukai, membentuk kuasa tentera, menggunakan sumber aslimalah boleh dikatakan sebenarnya sesebuah negara dapat melakukan apa sahaja dalam lingkungan sempadannya demi kepentingan nasional. Aktor bukan negara merupakan pertubuhan, individu, isu yang mempengaruhi sistem antarabangsa. Aktor bukan negara memainkan peranan penting dalam hubungan antarabangsa dan dikawal, dikekang oleh pelbagai aktor-aktor lain. Aktor-aktor ini terdiri daripada syarikat-syarikat multinasional (MNCs) yang selalunya mampu mengatasi keputusan dan tindakan negara-negara bagi menentukan kepentingan masing-masing. Sesetengah syarikat-syarikat tersebut memiliki kuasa monopoli dalam sumber-sumber yang diperlukan oleh negara sama ada berbentuk bahan mentah, industri berteknologi tinggi mahupun produk elektronik bagi kegunaan pengguna. Aktor-aktor lain yang terlibat dalam proses hubungan, interaksi dan tawar menawar ini termasuklah organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, individu-individu seperti pemimpin dan warganegara negara-negara tertentu, kumpulan-kumpulan bukan kerajaan dan kumpulan-kumpulan pendesak seperti kumpulan pengganas.

            Dalam hubungan antarabangsa terdapat beberapa teori yang digunapakai dan berperanan penting dalam menerangkan dan meramal masa depan hubungan antarabangsa . Hal ini kerana dunia mengalami perubahan dan melalui teori tertentu manusia dapat memahami apa yang sedang berlaku dan memahami dengan lebih dalam lagi. Apabila kita berfikir secara teori mengenai hubungan antarabangsa ia akan menjelaskan proses sesuatu polisi antarabangsa melalui kajian atau membuat ramalan secara menyeluruh. Oleh sebab itu wujud beberapa teori yang menerangkan hubungan antarabangsa supaya manusia memahami hubungan antarabangsa dengan lebih mendalam. Antara teori yang wujud ialah Realisme, Idealisme dan konstruktivisme. Realisme merupakan diantara teori yang digunapakai dalam hubungan antarabangsa dan mempunyai kepentingan tersendiri. Perkara asas dalam teori Realisme  ialah manusia secara semlajadi mementingkan diri dan tidak boleh membebaskan diri daripada fakta bahawa mereka dipacu untuk bersaing sesama sendiri demi kepentingan diri. Oleh sebab itu manusia perlu melakukan apa sahaja untuk bersaing demi memenuhi kepentingan diri sendiri. Dalam hunbungan antarabangsa, pemimpin dalam sesebuah negara bersikap lebih agresif dan kepentingan negara harus diutamakan berbanding kepentingan negara lain. Golongan Realisme menekankan kepada penguasaan kuasa yang ada pada diri manusia itu sendiri. Melalui teori ini juga, sistem negara adalah berbentuk anarki. Tiada kuasa selain negara yang mampu meregulasikan interaksi mereka, negara perlu berhubung dengan negara lain, berbanding dikawal oleh entiti lain. Sifat anarki dalam sistem antarabangsa menggambarkan bahawa negara memerlukan keupayaan militari yang sesuai bagi menghadapi serangan musuh dan menggunakan pengaruh yang ada untuk mempengaruhi negara lain. Oleh sebab itu, sesebuah negara memerlukan keupayaan militari bagi memastikan negaranya mempunyai kuasa yang lebih kuat berbanding dengan negara lain. Jika keupayaan militari lemah, sesebuah negara akan ditindas dan terpaksa mengikut kehendak negara yang lebih berkuasa.

            Konsep dalam hubungan antarabanga akan memberikan lagi pemahaman agar kita lebih memahami apa yang dikatakan sebagai hubungan antarabangsa. Negara-negara perlu berhubung di antara satu sama lain untuk memenuhi kepentingan serta matlamat negara. Hal ini mewujudkan kebergantungan antara negara. Kesannya akan meningkatkan lagi kadar interaksi dan akan mencetuskan konflik atau kerjasama serta penggunaan kekerasan atau kerjasama di antara negara-negara dalam mengejar matlamat dan keperluan negara. Konsep hubungan antarabangsa dapat dilihat melalui kuasa, polar, independence dan dependence. konsep kuasa mempunyai pelbagai makna dalam hubungan antarabangsa. Makna yang didefinisikan adalah bergantung kepada konteks dimana kuasa itu digunakan. Kuasa merupakan kekuatan yang diperolehi daripada 3 elemen iaitu; pengetahuan, kekuatan militari dan kegagahan. Kuasa juga merupakan matlamat akhir yang perlu diambil kira dalam pembentukkan dan pemilihan dasar luar. Kuasa juga menyumbang kepada keupayaan. kekayaan dan pengaruh dalam hubungan antarabangsa. Apbila negara mempunyai kuasa, negara tersebut akan dapat bersaing dengan negara lain dan mengekalkan kedudukannya daripada musuh. Kuasa juga mempunyai pembahagiaan iaitu 'soft power' dan 'hard power'. Soft power merujuk kepada kekuatan berkaitan aspek ekonomi, budaya , muzik dan lain-lain. Soft power diibaratkan kuasa yang lembut tetapi memberikan kesan kepada negara. Hard power merujuk kepada kukuatan militari. Kekuatan militari merupakan kekuatan yang menjadikan sesebuah negara berkuasa dan mampu mempertahankan kedudukannya melalui ketenteraan dan penggunaan senjata canggih. Semakin kuat kekuatan militari yang dipunya oleh negara semakin berpengaruh dan kuat kedudukan negara. Sebagai contoh amerika Syarikat yang mempunyai kekuatan militari yang amat kuat. Negara tersebut akan cuba mengekploitasi negara lain agar kepentingan negaranya dapat dipertahankan. Senjata yang dimiliki oleh Amerika Syarikat adalah amat canggih dan berkuantiti banyak. Selain itu, . konsep polar pula terbahagi kepada tiga iaitu dwipolar (dua kuasa yang besar dunia, Amerika dan Solvit Union), unipolar (berasaskan kekuatan ketenteraan dan ekonomi) dan multipolar (kuasa berpecah-pecah).

            Selain itu, kepentingan nasional juga penting dalam hubungan antarabangsa. Kepentingan nasional ialah sebuah tujuan umum, berjangka panjang dan berterusan di mana sebarang negara, kerajaaan atau rejim melihat diri mereka sebagai dipertanggungjawabkan untuk melaksanakannya pada sebarang masa. Hubungan rasmi di antara masyarakat nasional dan persekitaran luar merumuskan dan menerangkan kepentingan nasional negara. Kepentingan nasional akan menjadikan sesebuah negara melakukan sesuatu perkara yang boleh memberikan keuntungan kepada kedudukannya sama ada daripada segi politik, ekonomi dan sosiobudaya. Setiap perkara atau dasar yang dilaksanakan mesti memberikan keuntungan kepada negara dan tidak medatangkan kesan buruk atau kerugian kepada negara. Apabila konsep ini dilaksanakan dengan berterusan akan dapat mengekalkan kedudukan negara dalam kedudukan yang selamat dan stabil. Hubungan dengan negara lain akan digunakan dengan sebaiknya agar negara memperolehi keuntungan yang akan menjaga kedudukan negara.

            Hubungan antarabangsa mempunyai alat dalam mewujudkan hubungan diantara negara-negara di dunia. Melalui alat ini akan mewujudkan interaksi dan kergantungan diantara negara-negara. Antara alat tersebut ialah kerjasama, intervensi/sekatan ekonomi/ tentera dan konflik/perang. Kerjasama merupakan alat yang menyatukan negara dimana dua buah negara atau lebih akan membentuk kerjasama dalam menjayakan sesuatu dasar atau program. Kerjasama yang erat diperlukan dan kefahaman diantara negara yang terlibat perlu ada agar kerjaama yang dijalinkan akan lenih berjaya dan tidak hanya berjalan separuh jalan. Melalui kerjasama, sesuatu dasar atau program dapat dijalankan dengan lebih jaya. Selain itu, kerjasama dalam bidang teknologi akan menjadikan pertukaran atau perpindahan teknoogi ke dalam negara. Hal ini berlaku semasa Malaysia menjalankan dasar Pandang Ke Timur. Pada masa itu, Malayia mengadakan kerjasama dengan negara Jepun dalam membangunkan negara. Apa yang berlaku ialah teknologi canggih dari Jepun dibawa masuk ke dalam Malaysia dan mendatangkan kesan yang baik kepada Malayia. Selain itu, Jepun juga mendapat kebaikan dimana pelabur-pelabur akan melabur ke dalam syarikat milik negaranya dan memberikan keuntungan kepada Jepun. Kerjasama memberikan situasi menang-menang dalam negara yang terlibat. Konflik yang berlaku antara negara-negara wujud disebabkan oleh salah paham, penaklukan dan lain-lain faktor. Konflik yangerlaku menjadikan negara-negara akan berhubung dan berinteraksi. Akan tetapi, konflik yang berlaku jika tidak dikawal dengan bijak akan mencetuskan peperangan dan membawa kemusnahan yang amat teruk kepada negar-negara yang terlibat. Terdapat juga negara lain akan mengambil kesempatan terhadap konflik yang berlaku.

            Dalam hubungan antarabangsa, terdapat struktur yang terbentuk dalamnya. Struktur ini terbentuk dalam tiga peringkat kuasa yang dimiliki oleh beberapa buah negara. Peringkat tersebut ialah kuasa besar, kuasa menengah dan kuasa kecil. Peringkat kuasa ini akan memisahkan kelompok negara yang berkuasa besar seperti Amerika dan Rusia yang mempunyai kekuatan militer yang kuat dan canggih. Kuasa menengah merupakan negara yang kuasa tidak terlalu kuat dan tidak terlalu tengah. Antara negara yang mempunyai kuasa menengah ialah Perancis, Jerman, England, India, China dan lain-lain. Negara berkuasa menengah kurang tidak begitu menonjol seperti negara berkuasa besar yang sering kita lihat dan dengar mengenai penglibatan dalam masalah yang berlaku di dunia terutama maslaah berkaitan ketenteraan. Negara berkuasa kecil seperti Fiji, Vietnam dan lain-lain tidak begitu menonjol kerana negara tersebut tidak mempunyai kekuatan militer yang kuat dan canggih. Negara berkuasa kecil selalunya di pengaruhi oleh negara yang berkuasa diatasnya. Negara berkuasa kecil tidak mampu melawan arahan dan perintah dari negara berkuasa besar kerana takut akan dieksploitasi atau diserang oleh negara berkuasa besar. Struktur kuasa seperti ini menunjukkan negara mana yang berkuasa dan tidak berkuasa sebenarnya, negara berkuasa akan terus berkuasa dan negara tidak berkuasa akan terus ditindas oleh negara berkuasa besar demi kepentingan mereka.

            Penglibatan negara-negara dalam organisasi antarabangsa adalah bertujuan untuk mengorientasikan kedudukan. Penglibatan dalam organisasi antarabangsa akan memberikan faedah yang berguna kepada negara. Jika sesebuah negara tidak menyertai mana-mana organisasi antarabangsa, negara tersebut akan terumbang-ambing dan mudah jatuh kemana-mana kuasa. Terdapat banyak organisasi antarabangsa yang ditubuhkan dengan pelbagai tujuan dan matlamat yang mahun dicapai. Antaranya NATO, PBB, ASEAN, OIC, EUdan lain-lain. Organisasi yang ditubuhkan mendapat persetujuan daripada negara-negara terlibat dan tidak bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
           
            Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 daripada British. Kemerdekaan membolehkan Malaysia menganggotai mana-mana pertubuhan serantau dan juga antarabangsa. Malaysia telah menganggotai Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) pada tahun 1961, PBB dan Komanwel pada 17 Sep 1957. Malaysia berperanan penting dalam semua aktiviti yang dilaksanakan dan memperoleh banyak manfaat melalui bantuan yg disalurkan utk pembangunan Malaysia.Malaysia juga banyak terlibat dalam organisasi antarabangsa dalam memastikan kedudukan terpelihara dan teguh. Malaysia menyertai Komenwel kerana Malaysia merdeka dan pernah dijajah oleh British suatu ketika dahulu. Penyertaan Malaysia dalam komenwel mendapat pelbagai faedah yang memberi  faedah yang berguna kepada negara. Antaranya Malaysia kan mendapat bantuan jika diserang oleh mana-mana pihak semasa konfrontasi melalui perjanjian pertahanan dengan British. Selain itu, Malaysia terlibat dalam PBB. PBB bermaksud Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Penubuhan PBB bermatlamat menjamin keamanan dan keselamatan dunia, menggalak hubungan berbaik-baik antara negara anggota, bekerjasama menyelesaikan masalah antarabangsa dan melindungi hak asasi manusia tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Malaysia tidak ketinggalan dalam memberikan peranan dalam PBB. Malaysia berperanan dalam membantu menyelesaikan konflik antarabangsa seperti di Bosnia suatu ketika dahulu setelah mendapat kepercayaan daripada PBB. Kepercayaan yang diberikan oleh PBB telah menjadikan Malaysia sering terlibat dalam menyelesaikan konflik antarabangsa sehingga hari ini.

           

            Selain itu, Malaysia juga tidak ketinggalan dalam pertubuhan serantau. Malaysia menyertai Persatuan Negara-negara Asian Tenggara ASEAN. ASEAN bermatlamat dalam mengekalkan kestabilan politik dirantau Asia Tenggara, membantu antara satu sama lain dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan, meningkatkan taraf hidup penduduk melalui kerjasama dalam bidang pertanian, perdagangan dan perindustrian, memberi kerjasama dan membantu dalam bentuk latihan dan penyelidikan dan mengadakan perhubungan yang erat dengan pertubuhan serantau dan antarabangsa. Dalam ASEAN juga, Malaysia tidak ketinggalan berperanan dan memberi sumbangan. Antaranya ialah menandatangai Deklarasi Kuala Lumpur 1971, beri kata sepakat semasa pengisytiharaan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN),  menyertai kerjasama ekonomi melalui zon Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang diumumkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura 1992, mengemukakan idea mewujudkan Perundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC) bagi memperluaskan kerjasama ekonomi yang melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan.

            Kesimpulannya hubungan antarabangsa bukan sahaja terjalin atas dasar politik. Tetapi hubungan antarabangsa juga boleh terjalin diatas dasar aspek lain seperti perniagaan, sosiobudaya, misi keamanan dan sebagainya. Kaedah yang sistematik dan berkesan perlu digunakan dalam usaha menjelaskan isu-isu antarabangsa iaitu melalui kaedah penjelasan berdasarkan geografi atau tumpuan terhadap komponen-komponen tertentu  dalam hubungan antarabangsa. Selain itu, di dalam mengkaji hubungan antarabangsa perlulah mempunyai teori bagi memahami fenomena dunia dengan lebih jelas. Teori amat penting dalam proses membat polisi antarabangsa bagi sesuatu negara. Hubungan antarabangsa yang terjalin harus dijaga kerana kadangkala ia menimbulkan kesan negatif dan begitu juga sebaliknya. Struktur dan konsep yang terdapat dalam hubungan antarabangsa perlu diteliti dan dipahami agar tidak lari daripada makna asalnya. Penglibatan Malaysia dalam hubungan antarabangsa mempunyai peranan dan sumbangan yang tersendiri dan langkah tersebut perlu dipertingktkan dari semasa ke semasa agar kedudukan negra dalam hubungan antarabanga dapat diperteguhkan dan dipertahankan.





















Rujukan

Kamarulnizam Abdullah. (2011). Malaysia dalam hubungan antarabangsa serantau. Perlis : Universiti Utara Malaysia.

Syed Ibrahim. (2008). Malaysia Kita. Selangor : Terbitan International Law Book Services.


Zulhilmi Paidi dan Asrar Omar. (2003). Hubungan Luar Antarabangsa. Pahang : Publications & Distributors Sdn Bhd.

(diambil daripada karya: mohammad mokhtar)

0 comments:

Post a Comment